Adab ketika menziarahi rumah orang ketika berhari raya

 Hai dan assalamualaikum semua!

Apa khabar semua? Diharapkan para pembaca semua dalam keadaan yang sihat dan walafiat.

Kita selalu pergi ke rumah saudara mara mahupun sahabat dan kenalan, sama ada untuk menziarahinya ataupun dengan tujuan lain. 

Sebagai tetamu, kita mestilah menjaga adab dan perilaku ketika berada di rumah orang,walaupun tuan rumah tesebut adalah kenalan rapat kita.

Jadi untuk perkongsian kali ini aida akan kongsikan beberapa adab yang sepatutnya kita aplikasikan dalam kehidupan kita.

           Pertamanya,ketuk pintu dan bagi salam sehingga tiga kali sahaja.Sekiranya masih tiada sahutan walaupun setelah salam yang ketiga,maka kita sepatutnya mengambil tindakan untuk bergerak meninggalkan rumah tersebut.Boleh jadi memang tuan rumah tiada di rumah pada ketika itu,ataupun tuan rumah dalam situasi tidak mahu diganggu.Pokok pangkalnya,mesti ada sebab mengapa tuan rumah tidak mahu buka pintu rumahnya.Boleh jadi juga tuan rumah sedang mengalami masalah dengan orang rumahnya.Ketika bagi salam,pastikan berjeda.Makna kata,tunggulah beberapa ketika untuk memberi salam yang kedua.Boleh jadi tuan rumah mengambil masa sebentar untuk membuka pintu apabila mendengar salam yang pertama tadi.Sebagai tetamu kita seharusnya memahami dan menghormati hak dan privasi tuan rumah.Jangan pula kita memaksa dengan menggoncang pagar misalnya,semata-mata untuk memanggil tuan rumah.

           Seterusnya,apabila kita diberi izin untuk masuk ke dalam rumah,sentiasa peringatkan diri dan mata kita terutamanya untuk tidak menjengah atau mengintai ruang-ruang atau bilik-bilik yang terdapat dalam rumah tersebut.Hal tersebut semestinya mengundang ketidakselesaan kepada tuan rumah.Sekiranya kita hendak melihat hiasan atau ruang-ruang dalam rumah tersebut,mintalah izin tuan rumah terlebih dahulu.Dari situ kita dapat tahu,mungkin ada beberapa temoat yang sememangnya orang luar atau tetamu tidak dibenarkan untuk masuk.Ingat,sebagai tetamu kita mestilah menjaga adab.Sekiranya kita membawa anak kecil,maka ibu bapa perlulah mengawasi anak-anak mereka agar tidak sesuka hati menyentuh barangan yang terdapat dalam rumah tersebut.

           Antara perkara lain yang perlu kita ambil kira sebagai tetamu adalah ketika dijamu makan oleh tuan rumah.Walaupun masakan yang dihidang tidak menepati citarasa kia sebagai tetamu,kita perlulah menjaga hati dan perasaan tuan rumah yang telah penat memasakkan dan menghidangkan juadah tersebut.Seperkara lagi,apabila tuan rumah sudah memberitahu bahawa pinggan ataupun cawan yang digunakan tidak perlu dibasuh,maka kita sebagai tetamu perlu menghormati kehendak tuna rumah.Dlam hal ini,banyak kemungkina yang boleh diambil kira,di mana mungkin tuan rumah tidak selesa untuk tetamu masuk ke ruang dapur ataupun tuan rumah tidak mahu tetamu tahu akan kedaan ruang dapurnya yang mugkin serba kekurangan.Boleh jadi juga di mana tuan rumah amat menitikberatkan cara cucian pinggan mangkuk yang telah digunakan.Mungkin cara cucian kita sebagai orang luar tidak menepati citarasa dan cara cucian yang dikehendaki tuan rumah.

           Satu lagi adab yang perlu diterapkan dalam diri kita sebagai tetamu,apabila dihidangkan dengan makanan samada berbentuk minuman,juadah mahupun makanan ringan,kita seharusnya mengambil makanan tersebut pada kuantiti yang berpada-pada,atau erti kata lain,jangan menghabiskan semua makanan yang dihidangkan.Mungkin makanan tersebut hanyalah makanan yang tuan rumah ada.Perkara ini dapat dilihat terutamanya ketika hari raya,di mana kita akan mengunjungi rumah saudara dan kenalan.Pastinya mereka akan menyediakan juadah,samada makanan berat mahupun cukup sekadar bsikut dan kuih raya.Dalam hal ini,ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam mendidik dan menerapkan adab dalam diri anak-anak,untuk memastikan mereka dapat mendengar kata dan dapat mengawal perilaku masing-masing ketika berada di rumah orang.

          Di samping itu,sebagai tetamu kita juga perlu meminta izin samada untuk menumpang tandas ataupun menggunakan barangan yang terdapat dalam rumah tersebut.Walaupun tuan rumah tersebut tidak kisah dengan hal tersebut,tetapi kita sebagai  tetamu sepatutnya beradab dan menghormati hak milik tuan rumah.Apabila kita sudah meminjam,menumpang dan menggunakan harta benda dalam rumah tersebut,kita perlulah mengembalikannya seperti sediakala sebelum kita menggunakannya.Sekiranya kita menumpang tandas,pastikan kita keluar dalam keadaan yang bersih dan tidak meninggalkan kotoran.Untuk anak-anak kecil,sekiranya mereka mahu bermain dengan barang yang terdapat dalam rumah tersebut,pastikan barang tersebut adalah barang yang boleh dimain dan bukannya mempunyai nilai sentimental yang tinggi,misalnya pasu dan set pinggan mangkuk.Sebelum itu,mereka perlulah meminta izin terlebih dahulu daripada tuan rumah.

             Kesimpulannya,tidak kiralah tuan rumah itu adik beradik kita,ataupun sahabat kita,mahupun saudara kita sendiri,kita perlulah menjaga etika dan adab ketika berada di rumah orang.Mereka mempunyai hak untuk mendenda dan menyaman kita sekiranya berlaku kemalangan dan perkara-perkara yang yang tidak diingini.Sebagai tetamu juga kita haruslah sedar batas-batas yang dibenarkan di dalam rumah tersebut,makna kata janganlah kita memperlakukan rumah orang lain seperti rumah kita sendiri,di mana kita berbuat sesuka hati kita tanpa menghiraukan perasaan dan privasi tuan rumah.Adab dan etika seperti ini seharusnya dididik dan diterapkan dalam diri sejak kecil lagi,agar terbit rasa hormat kepada orang lain,jujur serta amanah apabila di tempat orang.Kita juga perlulah mengikut peraturan tuan rumah,sama seperti kita menuruti peraturan ketika berada di rumah sendiri.Itulah bak kata pepatah,masuk kandang kambing mengembek,masuk kandang kerbau,menguak.Kita perlu sesuaikan diri kita dengan persekitaran tempat kita berada.

Sekian sahaja perkongsian kali ini,kita jumpa pada perkongsian yang seterusnya.Terima Kasih.

Comments